jump to navigation

Kenapa Hati Menjadi Keras 30 June 2008

Posted by unitagama in Uncategorized.
comments closed

Oleh : Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki, Pegawai Penasihat Agama UiTM Sarawak

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمْاَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ تُكْثِرُوْا الْكَلَامَ بِغَيْرِ ذِكْرِاللهِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الْكَلَامِ بِغَيْرِ ذِكْرِاللهِ تَعَالَى قَسْوَةٌ لِلقَلْبِ,وَاَنَّّ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنَ اللهِ الْقَلْبُ اْلقَاسِىْ

Maksud :

Daripada Ibnu Umar Radhiyallahu ‘anhuma berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “ Janganlah memperbanyakkan percakapan selain untuk berzikir kepada Allah SWT, sesungguhnya banyak bercakap selain daripada berzikir kepada Allah itu adalah menyebabkan hati seseorang menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah SWT itu ialah mereka yang berhati keras.

Hadith Riwayat Al-Tirmizi

Sedar atau tidak, ketandusan jiwa pada hari ini adalah suatu penyakit yang sangat ketara sekali di tengah-tengah masyarakat. Banyak orang yang susah hati, gelisah dan tidak merasakan ketenangan fikiran dalam kehidupan walaupun ia telah memiliki segala kemudahan yang dihasilkan oleh teknologi moden pada hari ini, bahkan jutaan wang yang dimilikinya, namun kepuasan hidup masih belum lagi dapat dirasainya. Ini semuanya berpunca dari hati yang keras, jiwa yang tandus dan mata yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT. Berapa ramai antara kita yang menjadikan ruang kosongnya untuk membaca ayat-ayat Allah SWT kecuali yang mendapat rahmatNya. Berapa ramai yang menjadikan sepertiga malam untuk sujud kepada Allah.

Selain itu, kekerasan hati juga adalah berpunca daripada banyak bercakap perkara-perkara yang tidak ada faedahnya dan tidak ada hubungkait dengan mengingati Allah SWT. Oleh itu, bagi kita yang mengaku beriman kepada Allah SWT hendaklah selalu menggunakan lidah kita untuk berzikir kepada Allah SWT, ataupun bercakap perkara-perkara yang ada hubungkait dengan kemaslahatan dan kepentingan agama Islam yang dapat memberikan faedah dlaam meningkatkan ketaqwaan atau paling kurang bercakap perkara keduniaan yang dijadikan wasilah atau alatan yang dapat membantunya untuk mentaati Allah, atau kalau tidak mampu berbuat demikian hendaklah dia berdiam sahaja, jangan banyak bercakap-cakap.

Fenomena yang selalu kita lihat dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini ialah terdapat ramai di kalangan umat Islam yang selalu membuang masa dengan bercakap-cakap perkara yang tidak berfaedah bahkan ada yang berani bercakap perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum-hukum syara’ dan berani bercakap sambil merendah-rendahkan ajaran agama yang boleh menyebabkan kefasiqan dan membawa kepada kekufuran. Berbeza dengan budaya masyarakat yang bukan Islam, seperti masyarakat Jepun yang begitu mengambil berat tentang penjagan masa, berkerja secara sistematik dan tersusun. Sepatutunya budaya yang baik ini dimiliki oleh umat Islam.

Pada hakikatnya, hati yang keras adalah hati yang tidak mudah menerima nasihat orang lain. Kalau ditegur dia selalu melenting dan menunjukkan rasa besar diri, pantang ditegur dan tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh orang lain. Hati yang keras juga sentiasa mendorong untuk membuat maksiat dan kejahatan dan merasa berat untuk berzikir atau membawa Al-Quran dan sangat malas untuk melaksanakan segala jenis ibadat yang diwajibkan Allah SWT. Inilah penyakit yang menimpa di kalangan umat Islam di seluruh dunia akibat sikap membelakangkan hukum Allah dan syariat Islam di muka bumi, sedangkan mereka adalah khalifah Allah SWT di dunia ini.

Sebagai contohnya, apabila masuknya waktu sembahyang dia akan merasa terbeban dengan ibadat sembahyang itu, bukannya dia merasa sangat bertuah kerana diberikan Allah peluang kepadanya untuk berhadapan kepada Allah SWT,dan kalau dia sembahyang pun maka badannya sahaja yang bersembahyang, sedangkan hatinya pergi merayau ke sana ke sini. Tetapi kalau mahu melihat sesuatu pertunjukan yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT, hatinya selalu terpanggil ke sana. Dia akan sanggup bersusah payah untuk sampai ke sana dan merasa ringan walaupun terpaksa mengorbankan apa jua yang diperlukan asal maksud di hatinya dapat dicapai.

Hati yang keras ini adalah disebabkan hati itu telah berkarat. Sesungguhnya hati itu akan berkarat sekiranya ia tidak dididik, tidak diproses maka ia pasti akan kotor apatah lagi sekiranya di sekeliling kita nafsu yang menguasai diri, maksiat dan syaitan meruntun-runtun dalam jiwa kita. Sedetik terleka akibatnya amat menakutkan. Kesan yang akan lahir daripada hati sudah menjadi keras dan berkarat ini ialah kesan yang kita dapat lihat pada masyarakat pada hari ini sehingga masyarakat tidak dapat membezakan yang makruf dan yang mungkar. Akibatnya masyarakat tidak mengenali yang mana dikatakan mungkar, yang mana dikatakan makruf.

Bagaimana hendak mengubati hati yang keras dan berkarat ini ? Rasulullah SAW telah memberikan jawapan kepada kita semua iaitu untuk mengubatinya ialah dengan Tilawatul Quran dan mengingati mati. Selain itu, para ulama juga telah mengariskan beberapa panduan untuk mengubatinya antaranya ialah dengan menjauhi maksiat samaada kecil atau besar, melazimi amalan harian terutamanya membaca Al-Quran, memperbanyakkan berzikir kepada Allah, sentiasa mengingati mati dan persoalan kubur, menghadiri majlis ilmu, muhasabah diri dan sebagainya. Oleh itu, marilah bersama-sama kita menterjemahkan semua saranan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk mengelakkan hati kita menjadi keras dan berkarat, kerana apabila berkaratnya hati maka kita tidak lagi dapat merasai nikmat dan kelazatan berubudiyah kepada Allah SWT.

Siapa Majoriti Penghuni Syurga 26 June 2008

Posted by unitagama in Artikel Ilmiah.
comments closed

Oleh : Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki, Pegawai Penasihat Agama UiTM Sarawak

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍِ وَعِمْرَانَ بْنِ الحْصَيْنِ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمْ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اطَّلَعْتُ فِي اْلجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلَهَا الْفُقَرَاءَ وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الِنّسَاءَ. - (متفق عليه)

Maksud :

Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain Radhiyallahu ‘anhuma bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : Aku melihat ke dalam Syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang yang faqir miskin. Dan aku melihat ke dalam Neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.

Adakah kita tahu apakah yang berlaku kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang kita kasihi ketika berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj?. Pada malam Isra Mikraj dengan izin dan rahmat kasih sayang Allah kepada Rasulullah SAW, telah diperlihatkan kepada Baginda banyak perkara-perkara yang ghaib termasuk di antaranya keadaan di Syurga dan keadaan di Neraka. Beliau melihat kebanyakan penghuni syurga itu adalah terdiri daripada kalangan orang yang faqir miskin. Ini disebabkan sewaktu mereka berada di dunia dahulu, mereka mempunyai banyak peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah. Inilah di antara mukjizat dan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada kekasihnya, Rasulullah SAW yang dapat mengetahui peristiwa yang akan datang di Syurga mahupun di Neraka.

Tetapi malang sekali bagi mereka yang di dunia ini hanya mengejar kemewahan dunia sehingga tidak ada banyak masa untuk beribadat kepada Allah. Sesungguhnya orang Mukmin itu bijak, mereka tidak akan sekali-kaili tertipu dengan tipu daya kemewahan dan kesenangan di dunia yang sementara. Orang Mukmin mempunyai matlamat hidup yang jelas, iaitu mereka ingin mencari keredhaan Allah untuk mendapat kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Hanya orang yang jahil,malang dan tidak bijak sahaja menjadikan dunia sebagai matlamat hidupnya. Bagi mereka kemewahan dan kesenangan yang dikecapi adalah segala-galanya. Mereka mengganggap kemewahan dan kesenangan yang dinikmati adalah kerana ilmu dan kebijaksanaan mereka, bukan disebabkan rahmat dan kasih sayang Allah. Orang kaya banyak disibukkan dengan menghimpun harta dan menghabiskan masa mengejar kemewahan dunia sehingga mereka menyesal dikejutkan dengan kematian sebelum sempat berbuat amal ibadat. Mereka akan menyesal di saat yang tidak berguna lagi penyesalan pada ketika itu.

Jesteru, saya mengajak kepada kita semua yang mengaku mencintai dan mengasihi Rasulullah SAW, marilah sama-sama kita mencontohi kehidupan Rasulullah SAW yang cukup sederhana dan menginsafkan kita. Kita boleh bayangkan atau tidak, seorang kekasih Allah, manusia yang paling dikasihi Allah ini boleh dikatakan sering berlapar dan kehausan, pakaian kain dan baju dari yang lama-lama serta benang pun kasar-kasar. Tempat tidur dihampar dengan tikar, bukan dengan hamparan permaidani hingga bantal tidurnya pun diperbuat daripada kulit kambing. Ini menunjukkan bahawa dunia ini adalah tempat yang hina dan segala kenikmatannya itu tiada suatu yang kekal, melainkan semuanya itu tipudaya semata-mata. Nabi SAW sangat menghinakan dunia.

Apabila Rasullullah SAW melawat ke dalam Neraka maka Baginda melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan perempuan. Apakah kesalahan dan dosa yang mereka lakukan sehingga dikatakan menjadi penghuni paling ramai di Neraka. Na’uzubillahiminzalik!!.Ini disebabkan ramai orang perempuan yang tidak menunaikan hak suami. Mereka tidak berterima kasih di atas pemberian suami dan tidak menjaga diri ketika suami tidak ada di rumah, tidak menutup aurat daripada orang yang bukan mahram dan ramai pula di kalangan mereka yang keluar dari rumah dengan bermacam-macam perhiasan dan persolekan, memakai minyak wangi dan membiarkan bau wangi itu dicium oleh orang yang bukan mahramnya. Sedangkan dia berhadapan dengan suaminya dengan pakaian yang buruk dan badan yang berbau busuk. Inilah di antara sebab-sebab yang mengakibatkan ramai di kalangan perempuan yang akan masuk Neraka.

Oleh itu, wahai saudaraku sekalian, marilah sama-sama kita selamatkan saudari perempuan kita dengan mengajak mereka untuk kembali mengambil Islam sebagai cara hidup. Hanya Islam agama yang diredhai Allah. Ketahuilah wahai suami-suami sekalian, perempuan itu akalnya senipis rambutnya. Dijadikan perempuan itu daripada tulang rusuk yang bengkok, untuk diluruskan oleh lelaki yang beriman kepada Allah. Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus. Luruskan perempuan itu dengan jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Mereka telah diciptakan Allah sebegitu rupa, maka didiklah mereka dengan Tarbiyah Islamiyyah secara yang berhikmah. Kasihanilah mereka, tanpa lelaki yang beriman tidak mungkin akan melahirkan perempuan yang solehah. Janganlh mengharapkan isteri semulia Fatimah Az- Zahra seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali Karamallahuwajhah.

Akal perempuan senipis rambutnya, tebalkanlah dia dengan ilmu agama, hatinya serapuh kaca, kuatkanlah dia dengan iman dan taqwa kepada Allah. Perasaannya selembut sutera. Hiasilah dia dengan akhlak mulia. Jangan cuba jinakkan perempuan dengan harta kerana nanti mereka akan semakin liar, jangan hiburkan mereka dengan kecantikan kerana nanti mereka akan menderita. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, disitulah punca kekuatan dunia. Suburkanlah mereka dengan nikmat Iman dan Islam kerana dari situlah nantinya mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rabb, Tuhan sekalian Alam. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan kelemahan dan ianya bukan diskriminasi Allah, sebaliknya di situlah kasih sayang Allah. Tanpa iman, ilmu dan akhlak mereka tidak akan lurus, malah akan semakin membengkok. Itulah hakikatnya seandainya mereka tidak kenal Allah. Bila wanita menjadi derhaka pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara. Jinakkan diri mereka untuk mentaati Allah SWT.